Cerita keadaan hari kiamat dan kesannya kepada manusia dibacakan subuh tadi, saperti berikut:
Allah bersumpah dengan Hari Kiamat. Dan Ia juga bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah” bahawa manusia akan dibangkitkan sesudah matinya mereka nanti.
Patutkah mereka yang kafir menyangka bahawa Allah tidak dapat mengumpulkan tulang mereka dan menghidupkan mereka semula? Tidaklah sepertimana yang mereka sangkakan itu, bahkan Allah berkuasa menyusun dengan sempurnanya segala tulang jari mereka iaitu, tulang yang lebih halus dari yang lain.
Kebenaran keadaan ini bukanlah tanpa buktinya. Tetapi manusia yang ingkar sentiasa suka meneruskan perbuatan kufur dan maksiat mereka sepanjang hayat mereka, sehingga mereka sanggup tidak mengaku adanya hari kiamat.
Secara mengejek mereka bertanya: “Bilakah datangnya hari kiamat itu?” Jawablah: “Hari kiamat akan datang apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar kerana gerun takut. Dan bulan akan hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama.
Pada hari itu, berkatalah manusia yang ingkarkan hari kiamat: “Ke manakah hendak melarikan diri?” Tak perlulah bertanya sedemikian! Kerana dah tak ada lagi tempat di mana kamu nak berlindung!
Pada hari itu, hanya kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. Di hari tersebut, manusia akan diberitahu apakah yang mereka telah lakukan dan apa yang ia telah tinggalkan. Anggota mereka sendiri pula akan menjadi saksi terhadap dirinya mereka, walau bagaimana pun mereka cuba memberi alasannya bagi membela diri.
“Janganlah engkau Muhammad, kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu itu, menggerakkan lidahmu membacanya sebelum selesai ianya dibacakan kepadamu. Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu dalam dadamu dan menetapkan bacaannya pada lidahmu. Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya kepadamu, dengan perantaraan Jibril, maka bacalah menurut bacaannya itu. Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya yang memerlukan penjelasan”.
Sedarlah wahai orang yang lalai bahawa sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu, bahkan kamu sentiasa mencintai kesenangan dan kemewahan dunia yang cepat habisnya itu. Dan kamu tidak menghiraukan bekalan untuk hari akhirat yang kekal abadi kehidupannya, hari akhirat.
Pada hari akhirat nanti, muka orang beriman akan berseri-seri, melihat kepada Tuhannya.
Sementara itu di hari yang sama, muka orang kafir muram hodoh, kerana mereka percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka azab seksa yang membinasakan.
Sedarlah. Janganlah kamu mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong, dan orang yang hadir di sisinya heboh berkata: “Siapakah yang dapat menawar jampi dan mengubatnya?” Manakala ia sendiri yakin bahawa sesungguhnya saat itu ialah saat perpisahan. Kedahsyatannya bertindih-tindih. Maka kepada Tuhanmu lah pada waktu itu, engkau dibawa untuk menerima balasan.
Oleh sebab orang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat, maka ia tidak mengakui kebenaran yang wajib diyakininya dan ia tidak mengerjakan sembahyang yang difardhukan ia mengerjakannya! Mereka mendustakan dan berpaling ingkar! Kemudian ia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.
Wahai orang yang kufur ingkar! sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu. Sudahlah dekat! Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu. Yang lebih layak.
Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan? Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan ke dalam rahim? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya dan menyempurnakan kejadiannya sebagai manusia?
Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis, lelaki dan perempuan.
Adakah Tuhan yang menjadikan semuanya itu, tidak berkuasa menghidupkan orang yang mati? Tentulah Ia berkuasa!
Tamat.
No comments:
Post a Comment